Ariefmas's Weblog

Sejenak Menapak Riuhnya Dunia Maya

Membaca Berita Kasus Bank Century di Media Massa Negeri Tetangga: Susilo (SBY) Takut Bayang-Bayang

Skandal Bank Century barangkali saja baunya memang sangat menyengat, sampai juga ke negeri tetangga. Media massa negeri tetangga tak luput menyempatkan lamannya memberitakan kasus dan sekitar kasus Bank Century. Beritanya memang sudah agak basi, tapi tak apalah… sekedar intermeso saja…
Monggo disimak :

Tunjuk perasaan antirasuah berterusan di Indonesia

utusan.com



JAKARTA 9 Dis. – Beribu-ribu rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama hari ini bagi memperingati hari antirasuah antarabangsa dan menggesa kerajaan menjalankan siasatan serius mengenai skandal Bank Century.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengalami tekanan semakin hebat sementara ahli Parlimen menyiasat dakwaan rasuah berhubung tindakan kontroversi kerajaan membelanjakan AS$700 juta (RM2.38 bilion) bagi menyelamatkan Bank Century tahun lepas.

Susilo yang lebih dikenali dengan singkatan namanya, SBY menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebahagian wang tersebut disalurkan untuk membiayai kempen beliau dalam pilihan raya Presiden pada Julai lepas, yang dimenanginya dengan 60 peratus undi bagi menduduki penggal kedua, berlandaskan janji untuk membanteras rasuah.

Di ibu kota Sulawesi Selatan, Makassar, sekitar 5,000 pelajar dan aktivis antirasuah membanjiri sebatang jalan di pusat bandar untuk menuntut kerajaan menyiasat skandal bank tersebut.

Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan membawa sepanduk dan poster dengan tulisan ‘Siasat kes Bank Century untuk menyelamatkan wang negara’ dan ‘SBY tidak mampu mentadbir negara ini’.

Di Jakarta, lebih seribu penunjuk perasaan berarak ke istana negara dengan membawa sepanduk menggesa Susilo bertindak, dengan tulisan pada satu sepanduk mendakwa ’90 peratus penguat kuasa undang-undang di sini adalah korup’.

Susilo malam tadi merayu kepada rakyat supaya menunjuk perasaan secara aman, sambil menegaskan kerajaan beliau bersungguh-sungguh mahu membanteras rasuah.

Presiden sebelum ini melahirkan kebimbangan pihak tertentu merancang untuk memperalatkan tunjuk perasaan itu bagi menjatuhkan beliau.

Penganjur demonstrasi sebaliknya berkata, Susilo bersikap paranoid dan beliau sepatutnya menyertai mereka dalam rapat umum itu dan bukannya memburuk-burukkan sebuah gerakan popular.

Demonstrasi turut berlangsung di beberapa bandar besar lain di seluruh Indonesia, negara yang menduduki tangga ke-126 bersama-sama Honduras dan Libya di kalangan 180 negara dalam indeks persepsi rasuah yang disediakan oleh Transparency International. – AFP
(sumber: utusan.com)

Susilo takut pada bayang-bayang?

SELEPAS menang besar pada pilihan raya untuk meneruskan penggal kedua sebagai Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono kini memberi tumpuan untuk membangunkan negara Islam terbesar ini.

Dengan perancangan kerja 100 hari dan lima tahun, Susilo berusaha memastikan penggal terakhirnya itu mencatatkan sejarah sebagai antara pemimpin yang berjaya memajukan ekonomi Indonesia.

Bagaimanapun hakikatnya Susilo atau lebih dikenali sebagai “SBY” terus terbelenggu dengan isu-isu yang diciptanya sendiri khususnya pembanterasan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Daripada skandal menggunakan wang kerajaan bagi menyelamatkan Bank Century hingga ke isu konspirasi melumpuhkan Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK), semuanya tidak diselesaikan.

Malah ia berlarutan dan sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan kesungguhan beliau dalam membanteras rasuah.

Dan beliau seolah-olah cuba lari daripada kenyataan dengan mendakwa ada pihak yang cuba menjatuhkannya.

Berbicara di depan para pemimpin Parti Demokrat di Jakarta Ahad lalu, beliau mengungkapkan perkara yang sama – ada gerakan yang mahu menjatuhkannya. Beliau membuat penilaian itu berdasarkan situasi politik akhir-akhir ini.

“Setiap malam saya berzikir dan berdoa bersama isteri dan ahli keluarga bagi mencari apakah tujuan semua fitnah dan pembunuhan watak seperti ini.

“Akal sihat saya mengatakan perilaku politik seperti ini paling tidak untuk jangka pendek ingin memburuk, menggoyang dan kalau boleh menjatuhkan SBY dan pemerintahan ini,” kata Susilo.

Pada Jumaat minggu lalu Susilo juga berucap tentang perkara yang sama dan beliau menyatakan memperoleh maklumat mengenai usaha tersebut.

Pada 17 Julai lalu selepas serangan bom berani mati berkembar ke atas Hotel JW Marriot dan Ritz Carlton di Mega Kuningan, Jakarta, Susilo mendakwa ada operasi ketenteraan untuk membunuhnya. Bahkan beliau menunjukkan gambar wajahnya yang dijadikan sasaran latihan menembak oleh sekumpulan militan bagi memastikan beliau tidak menjadi presiden untuk penggal kedua.

Ternyata selepas kenyataan itu, beliau tetap menang pilihan raya dan menjadi Presiden untuk penggal kedua.

Ketika demonstrasi di beberapa bandar utama di Indonesia pada 9 Disember, Susilo memilih untuk ‘lari’ ke Bali di mana tiada demonstrasi. Ketika itu beliau sepatutnya menghadiri acara di Makassar, tetapi membatalkannya setelah mendapati demonstrasi juga diadakan di kota utama Sulawesi Selatan itu.

Kalau dilihat sejarah beliau menduduki puncak kepimpinan, ramai mengatakan ia juga melalui jalan yang tidak jernih iaitu ‘menikam belakang’ Megawati Sukarnoputri.

Susilo yang ketika itu adalah menteri Kabinet Megawati, secara diam-diam mengatur gerakan menentang bosnya dengan menubuhkan Parti Demokrat. Setelah yakin kedudukannya kuat, barulah Susilo mengumumkan untuk menentang Megawati. Beliau berjaya mengalahkan wanita tersebut.

Megawati pastinya tidak melupakan bagaimana sakitnya dikhianati dan sejak itu tidak pernah berhenti menjadi pembangkang kepada kerajaan Susilo.

Maka kini Susilo berdepan dengan ketakutan kerana bimbang apa yang dilakukannya terhadap Megawati akan berulang kepadanya. Adakah beliau kini diburu bayang-bayang sendiri?
(sumber: utusan.com)

Presiden Indonesia: Ada pihak mahu jatuhkan saya

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sekali lagi menyatakan secara terbuka kemungkinan sebuah pergerakan politik mahu menjatuhkan beliau dengan berselindung di sebalik perhimpunan menentang rasuah berkaitan skandal Bank Century.

“Setiap malam, saya memanjatkan doa bersama isteri dan keluarga saya,” katanya semalam semasa berucap pada sidang kemuncak Parti Demokratik pimpinan beliau yang disiarkan melalui televisyen.

“Apa sebenarnya tujuan semua pembohongan dan perbuatan memburuk-burukkan peribadi saya ini? Logik saya mengatakan pergerakan politik ini mahu memburukkan nama saya, menggoncang kedudukan dan menjatuhkan saya dalam tempoh terdekat,” katanya yang dipetik akhbar harian berbahasa Ingeris The Jakarta Post hari ini.

Susilo merujuk kepada tuduhan beberapa NGO, khususnya Barisan Demokrasi Rakyat (Bendera), kononnya beberapa orang yang rapat
dengan beliau termasuk anak lelakinya Edhie ‘Ibas’ Baskoro, telah memperoleh wang daripada urusan menyelamatkan Bank Century.

Usaha menyelamatkan bank itu melibatkan Rp 6.76 trilion (US$716 juta).

Susilo menggunakan ucapan itu untuk menafikan sekali lagi bahawa beliau dan sekutu rapatnya atau Parti Demokratik melakukan penyelewengan dalam urusan menyelamatkan bank itu.

Susilo berkata beliau telah diberi taklimat tentang satu perhimpunan yang dirancang diadakan pada 9 Dis bagi menyambut hari Antirasuah Antarabangsa, yang sebenarnya mempunyai “agenda politik tersembunyi” yang tiada kaitan dengan gerakan menentang rasuah.

“Tapi, saya bersyukur kepada Allah kerana telah mendapat maklumat yang agak lengkap tentang siapa yang mendalanginya dan tujuan sebenar perhimpunan pada 9 Dis ini,” kata Susilo sambil menyelar individu serta kumpulan yang menyertai perhimpunan menentang rasuah dengan berkata sebenarnya mereka hanya menjadi penumpangnya semata-mata.

Bagaimanapun, Prabowo Subianto, pengasas Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), menolak tuduhan presiden itu dengan berkata partinya hanya ingin mendedahkan perkara sebenar di sebalik skandal Bank Century.

Ini adalah kes kedua yang didakwa secara terbuka oleh Susilo bertujuan menjatuhkan beliau.

Pada 17 Julai, berikutan kejadian letupan bom di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton pada hari yang sama, Susilo berkata beliau menjadi sasaran pengganas, yang juga akan menyerang suruhanjaya pilihan raya bagi menghalang peluangnya memenangi pilihan raya.

Prabowo juga menafikan dakwaaan Susilo itu.

Akhbar harian itu juga melaporkan bahawa oleh kerana ramalan itu tidak menjadi kenyataan, timbul tanggapan bahawa Susilo membuat kenyataan terbuka bagi mengelak berlakunya serangan atau beliau telah menerima maklumat risikan yang tidak tepat.

Pengerusi pergerakan Islam, Muhammadiyah, Din Syamsuddin berkata amaran yang dikeluarkan oleh Susilo kali ini mungkin betul, dan menegaskan bahawa: “Mereka yang menganggotai gerakan antikorupsi itu, sila tampil ke depan. Mereka yang bukan, jangan jadi ganggu.”

Bekas timbalan pengerusi Komisi Pembenterasan Korupsi (KPK) Erry Riyana pula berkata kebimbangan Susilo bahawa gerakan menentang rasuah itu boleh digunakan bagi mencapai tujuan tersembunyi, tanpa menghiraukan kepentingan dan ketenteraman awam, memang mudah untuk difahami.

“Perkara paling penting ialah presiden tidak menghalang tunjuk perasaan pada 9 Dis diadakan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati mendakwa Susilo takutkan bayang-bayang sendiri dan menggesanya supaya berhenti daripada menggunakan helah lama kononnya menjadi mangsa pihak tertentu, demi meraih sokongan orang ramai.

“Saya benar-benar kesal dengan kenyataan beliau bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik gerakan 9 Dis,” kata Fadjroel Rachman daripada Komisi Masyarakat Sipil Antikorupsi.

“Perhimpunan itu bertujuan menyambut semangat antikorupsi. Kalau presiden tidak bersalah, kenapa beliau perlu takut,” kata beliau yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Beberapa akhbar harian utama lain juga menyiarkan laporan serupa di muka hadapan masing-masing hari ini. BERNAMA
(sumber: malaysiakini)

29 Desember 2009 - Posted by | yang penting FUN | , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

1 Komentar »

  1. hadoh bahasa sono belepotan bgt hehe…

    ——
    Arief: tapi hurufnya sama. hehe

    Komentar oleh A.J.I | 30 Desember 2009 | Balas


Dipersilakan mohon Komentar di SiNi [trima kasih]

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: